PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang mendesak Barat mempertimbangkan pelaksanaan zon larangan terbang bagi pesawat Rusia di ruang udara Ukraine mungkin perlu memikirkan buah fikiran lain bagi menyelamatkan negaranya.
Ia berikutan pegangan AS yang enggan menunaikan permintaan Zelenskyy kerana tidak mahu terlibat dengan perang yang sedang berlaku antara Rusia dan Ukraine, lapor Kosmo.
“Zon larangan terbang memerlukan pelaksanaan khas.
“Tindakan sedemikian memerlukan kerahan tentera AS untuk menguatkuasakan pelaksanaannya yang berisiko mencetuskan konflik secara langsung dengan Rusia.
“Ia adalah situasi yang perlu dielakkan kerana kami tidak merancang menjadi sebahagian daripada perang ini,” ” kata Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki mengenai permintaan Zelenskyy.
Desakan itu dibuat selepas Kremlin mengebom bandar kedua terbesar di negara itu, Kharkiv.
Pengeboman berlaku selepas Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Barat mengumumkan sekatan baharu lebih ketat ke atas Moscow.
Rusia berdepan pengasingan antarabangsa yang semakin meningkat kerana pencerobohannya ke atas Ukraine, manakala rundingan gencatan senjata antara kedua-dua pihak semalam gagal mencapai kata sepakat.
Dalam satu ucapan video, Zelenskyy berkata, sudah tiba masanya untuk menyekat peluru berpandu, pesawat dan helikopter Rusia dari ruang udara Ukraine.
“Rundingan adil boleh berlaku apabila satu pihak tidak menyerang pihak lain dengan artileri dan roket ketika dialog diadakan,” kata Zelenskiy.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bagaimana dan oleh siapa zon larangan terbang itu akan dikuatkuasakan.
Dalam pada itu, AS menolak menghantar tentera untuk memerangi Rusia dengan pegawai-pegawai Pentagon menyuarakan kebimbangan mengenai ketegangan yang semakin meningkat antara dua kuasa nuklear terbesar dunia itu.
Sumber: Kosmo