SEORANG ibu di Ohio, Amerika Syarikat terpaksa menahan malu yang teramat sangat apabila anaknya yang berusia dua tahun tanpa sengaja telah menghantar gambar bogelnya kepada beberapa kenalan termasuk rakan sekerja dan bekas rakan universiti, lapor Metro UK.
Sebelum kejadian, Emily Schmitt, 30, telah membenarkan anak perempuannya, Carsyn untuk bermain telefon pintarnya semasa dia sedang mengeringkan rambut semalam.
Semasa Emily sedang berdiri bogel, ibu empat anak itu sama sekali tidak menduga bahawa Carsyn telah mengambil gambarnya sebelum menghantar gambar itu kepada ramai kenalannya di Snapchat.
Emily hanya menyedari tindakan anaknya itu selepas menerima mesej ‘terima kasih‘ daripada beberapa rakan sekerjanya kerana menghantar gambar bogel berkenaan.
“Saya benar-benar malu dengan apa yang telah terjadi sehingga terpaksa meminta maaf kepada semua orang. Seakan-akan dunia telah berakhir, tak tahu mana saya nak letak muka,” kata Emily.
Emily memberitahu, bukan saja beberapa rakan sekerjanya yang menerima gambar berkenaan, namun ia turut diterima beberapa rakan universiti yang selama ini tidak pernah berbual dengannya sehingga menyebabkan dirinya malu besar ekoran insiden memalukan itu.
“Saya rasa seperti mahu berhenti kerja sekarang, macam mana saya mahu berdepan dengan rakan sekerja selepas ini,” katanya yang bekerja sebagai ejen hartanah. – Agensi
Sumber: Metro UK