KERAJAAN Arab Saudi telah memutuskan untuk menguatkuasakan larangan mengambil gambar di Masjidil Haram, Makkah, dan Masjid Nabawi, Madinah.
Larangan itu termasuk merakam video di sekitar perkarangan tempat suci bagi seluruh umat Islam.
Kerajaan Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu kini dianggap sebagai satu kesalahan.
Tegas kerajaan Arab Saudi, larangan itu dibuat sebagai mesej bagi memelihara maruah melibatkan kesemua tempat suci itu selain memperbetulkan niat kesemua jemaah yang hadir.
Menurut kenyataan itu lagi, jemaah yang hadir kebelakangan ini dilihat lebih mementingkan perkara tersebut berbanding meluangkan masa untuk beribadah.
“Langkah ini juga diambil bertujuan untuk memelihara jemaah lain supaya tidak terganggu sewaktu mereka sedang beribadah,” memetik kenyataan tersebut.
Sebelum ini, tiada sebarang larangan khusus dibuat berhubung perkara berkenaan.
Malah, gambar serta video kelihatan berleluasa di media sosial hasil perkongsian para jemaah yang berkunjung ke tempat suci itu.