BEIJING – Seorang lelaki berusia 19 tahun di China mengalami masalah kebocoran pada paru-parunya akibat menjerit kuat di sebuah konsert kumpulan artis kegemarannya.
Lapor Oddity Central, remaja yang berasal dari Shenzhen mengalami masalah pneumothorax atau paru-paru bocor selepas menjerit sepuas hati ketika menonton konsert idola pujaannya.
Media tempatan melaporkan lelaki itu pada mulanya merasakan sakit di bahagian dada selepas menjerit kuat ketika persembahan kumpulan artis itu sedang berlangsung.
“Dia kemudian mengalami kesukaran bernafas lalu rebah serta-merta. Lelaki itu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Setelah meneliti keadaan remaja itu, pasukan doktor mengesahkan alveolar rosak pada salah satu paru-parunya disebabkan menjerit secara berlebihan semasa konsert tersebut,” jelas laporan.
Pneumothorax merupakan masalah udara terkumpul yang tidak normal dalam ruang pleura di antara paru-paru dan dada.
Kondisi itu boleh berlaku akibat kecederaan di bahagian dada, kesan dari penyakit paru-paru atau kebocoran alveolar akibat tekanan teruk.
Sementara itu, media tempatan melaporkan pasukan doktor berjaya mengeluarkan udara berlebihan dan mengurangkan tekanan pada paru-paru lelaki itu.
Remaja itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Sumber : Utusan Malaysia